

Sempena menjalani ibadat puasa di bulan ramadhan yang penuh barakah ini, manambah amalan-amalan sunat disamping menunaikan yang fardhu itu amat digalakkan. Dengan menahan lapar dan dahaga semestinya terasa amat letih ditambah pula dengan menjalani kerja-kerja seharian, belajar, dan menjalani praktikal. Bila masuk waktu rehat tengah hari terasa berat kelopak mata untuk terus celik. Terus pergi ke surau untuk berehat dan siap sedia solat zuhur. Terkebil-kebil lesu, bila dipejam seketika sedar tak sedar, dah masuk waktu zuhur! Kadang kala tertanya, ‘kenape la tak cuti je masa bulan puase ni kan?? Senang sket nak buat ibadah’. Manusia suka bagi alasan, bila dapat cuti hari minggu tetap juga kita berehat lebih dari masa kita beribadah. Pelik tak??
Tapi jarang sekali kita terfikir, bagaimana agaknya para sahabat menjalani ibadah puasa pada zaman dahulu. Selepas membuat sedikit bacaan tentang kisah para sahabat dan sirah Rasulullah melalui detik-detik ramadhan ini, ternyata banyak sejarah kemenangan dan kejayaan diperoleh pada bulan ini. Ini membuktikan bahawa berpuasa bukan sebagai alasan untuk kita berehat dan bermalas-malas untuk menjalani tugasan dan tanggungjawab seperti biasa, malah seharusnya kita pertingkatkan kualiti dan produksi kita. Suka saya berkongsi sedikit sedutan sirah penting dalam Islam ketika dibulan ramadhan.
17 ramadhan 2H
Pada tarikh ini telah tercetusnya perang Badar Al-kubra yang mana disertai oleh Rasulullah SAW. Perang ini berlaku pada pagi jumaat di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW ini yang telah mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah. Nilai 300 ini pula kalau kita perasan, sama dengan tajuk cerita Hollywood ‘300’,ternyata peniruan terang-terangan!!!! Bayangkan bagaimana keadaan peperangan jumlah yang sedikit mampu mengalahkan bilangan tentera yang jauh lebih ramai. Dengan kelengkapan yang kurang, tiada kenderaan yang pantas, tiada senjata canggih, tiada bekalan makanan yang melimpah ruah, tetapi hanya berbekalkan semangat yang kental dan yakin dengan agama Allah. Subhanallah, semestinya ramadhan yang penuh barakah ini menguatkan lagi semangat muslimin pada ketika itu. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik.
Manakala kita pada hari ini, sering mengeluh penat lelah, bekerja di siang hari, panas terik membakar, dan berbagai alasan lagi. Adakah kita pergi berjuang? Tidak,cuma tugasan harian biasa sahaja. Adakah kita pergi bekerja, kuliah, sekolah, dengan menaiki unta,menunggang kuda atau berjalan kaki? Tidak, pergi naik kereta,naik bas,naik motor. Maka tersangat jauh bila kita fikirkan beza antara perjuangan kita dengan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat di bulan Ramadhan ini.
Maka jangan jadikan berpuasa sebagai alasan untuk terus berusaha menjalani tugas harian demi kebaikan kita di dunia, dan memunaikan yang fardhu ke atas kita dengan bersungguh-sungguh, ditambah pula dengan amalan-amalan sunat sebagai bekalan untuk saham akhirat kita. Teruslah berusaha, yakinlah Allah SWT akan member kekuatan kepada kita seperti yang telah diberikan kepada para sahabat.
Ya Allah sempena bulan Ramadhan penuh barakah ini, hamba Mu memohon diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan agar lebih tabah dan dapat terus beribadah kepada Mu Ya Allah. Berikan daku kekuatan, temukan daku dengan malam keberkatan seribu bulan itu, malam lailatul qadar yang telah lama ku impi-impikan. Perkenankan doa hamba Mu yang hina ini Ya Allah…