Saturday, August 28, 2010

PERINGATAN BUAT DIRIKU SEMPENA RAMADHAN



Sempena menjalani ibadat puasa di bulan ramadhan yang penuh barakah ini, manambah amalan-amalan sunat disamping menunaikan yang fardhu itu amat digalakkan. Dengan menahan lapar dan dahaga semestinya terasa amat letih ditambah pula dengan menjalani kerja-kerja seharian, belajar, dan menjalani praktikal. Bila masuk waktu rehat tengah hari terasa berat kelopak mata untuk terus celik. Terus pergi ke surau untuk berehat dan siap sedia solat zuhur. Terkebil-kebil lesu, bila dipejam seketika sedar tak sedar, dah masuk waktu zuhur! Kadang kala tertanya, ‘kenape la tak cuti je masa bulan puase ni kan?? Senang sket nak buat ibadah’. Manusia suka bagi alasan, bila dapat cuti hari minggu tetap juga kita berehat lebih dari masa kita beribadah. Pelik tak??

Tapi jarang sekali kita terfikir, bagaimana agaknya para sahabat menjalani ibadah puasa pada zaman dahulu. Selepas membuat sedikit bacaan tentang kisah para sahabat dan sirah Rasulullah melalui detik-detik ramadhan ini, ternyata banyak sejarah kemenangan dan kejayaan diperoleh pada bulan ini. Ini membuktikan bahawa berpuasa bukan sebagai alasan untuk kita berehat dan bermalas-malas untuk menjalani tugasan dan tanggungjawab seperti biasa, malah seharusnya kita pertingkatkan kualiti dan produksi kita. Suka saya berkongsi sedikit sedutan sirah penting dalam Islam ketika dibulan ramadhan.

17 ramadhan 2H
Pada tarikh ini telah tercetusnya perang Badar Al-kubra yang mana disertai oleh Rasulullah SAW. Perang ini berlaku pada pagi jumaat di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW ini yang telah mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah. Nilai 300 ini pula kalau kita perasan, sama dengan tajuk cerita Hollywood ‘300’,ternyata peniruan terang-terangan!!!! Bayangkan bagaimana keadaan peperangan jumlah yang sedikit mampu mengalahkan bilangan tentera yang jauh lebih ramai. Dengan kelengkapan yang kurang, tiada kenderaan yang pantas, tiada senjata canggih, tiada bekalan makanan yang melimpah ruah, tetapi hanya berbekalkan semangat yang kental dan yakin dengan agama Allah. Subhanallah, semestinya ramadhan yang penuh barakah ini menguatkan lagi semangat muslimin pada ketika itu. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik.

Manakala kita pada hari ini, sering mengeluh penat lelah, bekerja di siang hari, panas terik membakar, dan berbagai alasan lagi. Adakah kita pergi berjuang? Tidak,cuma tugasan harian biasa sahaja. Adakah kita pergi bekerja, kuliah, sekolah, dengan menaiki unta,menunggang kuda atau berjalan kaki? Tidak, pergi naik kereta,naik bas,naik motor. Maka tersangat jauh bila kita fikirkan beza antara perjuangan kita dengan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat di bulan Ramadhan ini.

Maka jangan jadikan berpuasa sebagai alasan untuk terus berusaha menjalani tugas harian demi kebaikan kita di dunia, dan memunaikan yang fardhu ke atas kita dengan bersungguh-sungguh, ditambah pula dengan amalan-amalan sunat sebagai bekalan untuk saham akhirat kita. Teruslah berusaha, yakinlah Allah SWT akan member kekuatan kepada kita seperti yang telah diberikan kepada para sahabat.

Ya Allah sempena bulan Ramadhan penuh barakah ini, hamba Mu memohon diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan agar lebih tabah dan dapat terus beribadah kepada Mu Ya Allah. Berikan daku kekuatan, temukan daku dengan malam keberkatan seribu bulan itu, malam lailatul qadar yang telah lama ku impi-impikan. Perkenankan doa hamba Mu yang hina ini Ya Allah…

Monday, August 9, 2010

ADAB BERPUASA



SALAM RAMADHAN

selamat menyabut ramadhan almubarrak...

sempena bulan ramadhan ini smoga kita sama-sama mendalami pengertian ramadhan.

semoga kita sama-sama mendapat barakah,InsyaAllah...

terdetik disudut hati ini, ingin mencuba untuk mengejar ganjaran dan malam lailatul qadar, smoga Allah memberi kemudahan bagi diri ini untuk beribadat disepanjang bulan yang mulia ini.

terasa sangat menginginkan bertemu dengan malam lailatul qadar....

berilah hamba Mu ini peluang Ya Allah...



Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Thursday, July 29, 2010

BILA KESEDIHAN MENGAWAL DIRI



Bila kesedihan mengawal diri,

Hilangnya seri yang mewarnai hati,

Tatkala keimanan mula tergugat,

Terasa sunyi dan layu tidak bertempat,

Apabila keinginan tidak dipenuhi,

Tuntutan hati tidak dikecapi,

Apabila doa tidak diperkenan,

Menyusup penyakit dicelah perasaan,

Kuatkanlah keimanan di dalam hati,

Teguhkanlah kesabaran di dalam diri,

Buangkanlah buruk sangka yang beracun,

Bersangka baik dan teruslah memohon,

Andai doa tidak diperkenan,

Usah bersedih tetapkan keimanan,

Bukan pinta mu tidak dipenuhi,

Kerana cuma Dia yang maha mengetahui,


Mungkin pinta mu tidak bertempat,

Akan Dia gantikan yang lebih tepat,

Bersabarlah dengan penuh pengharapan,

Semua ini hanyalah ujian,

Hari ini dikau bersabar,

Pasti kelak tiadanya gusar,

Kerna Dia telah menetapkan,

Janji-janji Nya pasti ditunaikan,

Berdoa dan sabar penuh pengharapan,

Pintamu itu usah keterlaluan,

Biar sejajar bersama usaha,

Dengan izin Nya akan bahagia,


Setelah pinta mu ditunaikan nanti,

Pastikan sujud syukurmu sebagai ganti,

Panjatkan syukur pada yang Esa,

Dengan izin Nya kau terus selesa,


Kita hanyalah insan biasa,

Redha aturan dari yang Esa,

Kelak tersenyum baru kau sedari,

kerna inilah bukti kasih Nya Ya Ilahi,


Alhamdulillah…..


Saturday, July 24, 2010

DUHAI INSAN ISTIMEWA

Duhai insan istimewa, kau digelar sebagai penyeri dunia. Kehadiranmu sebagai pelengkap hubungan manusia yang fitrah kejadiannya mengidamkan kasih sayang dan perasaan cinta untuk diluahkan. Kehadiranmu itu bukan sahaja dirindui oleh manusia biasa, malah nabi Allah Adam a.s juga turut sunyi di dalam syurga tanpa Hawa disisinya. Walhal segala-galanya lengkap di syurga yang kekal abadi itu…


Duhai insan istimewa, renungkanlah akan kejadianmu yang diciptakan dengan akal bak senipis bilahan rambutmu, maka tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu yang berguna dan diberkati, agar ‘satu akalmu’ mampu membezakan antara kaca dan permata, antara intan dan berlian. Juga hatimu bak kaca yang rapuh menanti masa untuk berderai bila disentuh. Maka kuatkanlah ia dengan iman yang teguh agar hatimu tidak terus tunduk pada ‘sembilan nafsumu’ itu.


Duhai insan istimewa, terciptanya dikau dari rusuk kiri lelaki, yang mana ketika nabi Adam a.s sedang tidur di syurga dalam keadaan mengiring badannya ke kanan. Maka bukanlah Allah menjadikan dirimu dari tulang kaki untuk dialasi atau ditindas, usah dikau gusar, darjat dirimu tidak serendah itu wahai insan istimewa... Malahan , bukan jua dari kepala asal kejadianmu itu, agar dirimu tidak disanjung oleh lelaki dek kelembutan serta kecantikan yang dikau miliki, tidak pula setinggi itu darjatmu wahai insan istimewa…. Tetapi dirimu diambil dekatnya di bahu untuk terus dilindungi, malah sangat dekat di hati untuk dirimu dikasihi, di ibaratkan dirimu tulang rusuk yang senantiasa menjaga dan melindungi hati lelaki tanpa pernah jemu. Di sinilah darjat yang sesuai bagimu, tidaklah terlalu tinggi untuk dibanggakan, tidak jua serendah kaki untuk dihinakan, letaknya di tengah-tengah cukup untuk mendamaikan.


Sedarilah insan istimewa, bahawa fitrah kelembutan dirimu bukannya kelemahan, bukan jua penghinaan dari Tuhan, bahkan ianya sebagai hiasan kecantikan. Hargailah perhiasan kurniaan Tuhan….


Engkaulah wanita istimewa….
Engkaulah wanita hiasan duniawi….





Friday, July 23, 2010

PENYESALAN TAK TERUCAP


Jiwa memberontak, hati meraung kesakitan. Hati yang sekian lama menyimpan dendam, menunggu masa untuk diluahkan. Setelah sekian lama terpaku, tersimpan dan tersimpul rapi bak kotak rahsia terkunci. Ianya terus dikecam dengan pelbagai tikaman yang membunuh jiwa tanpa belas kasihan. Seolah-olah pisau menusuk jantung. Dahsyat!!! Tak terucap dibibir dan tak terima diakal. Namun itulah hakikat hati kecilku bersuara. Aku tetap bersabar dan terus bersabar dek kerana merasakan kemanisan yang mendatang. Namun sampai bila harusku pendam?!! Aku tertanya-tanya bilakah perubahan nan kunjung tiba? Mungkin aku perlukan perubahan..fikiran bercelaru.argh!!!! Terlalu banyak persoalan singgah di fikiran. Sambil terbaring diulik tilam yang empuk, aku perhatikan disekeliling ruang kamarku, disetiap sudut, disetiap penjuru. Mataku terpana pada satu ruangan dinding disudut ruang mejaku. Terpampang satu lirik lagu yang pernah dulu aku tampal kerana merasakan ianya menarik dihiasi calitan corak yang agak indah. Aku tidak tahu mengapa aku merasakan sesuatu yang menakutkan lantas bulu romaku berdiri bak pokok bunga seri pagi mekar di waktu pagi.Aku meneliti setiap bait-bait lagu yang tertulis satu persatu:

Telah kita diberitakan akan tibanya hari kedatangan,
Musibah melanda semesta alam,
Tiada siapa yang dapat menghalang,
Bila manusia telah lupa,
Sujud menyembah yang maha Esa,
Dosa pahala tak dihiraukan lagi,
Hati telah gelap hilang cahaya,
Lalu berbunyi sangkakala membelah langit ,
Gegar gempita ,
Masing-masing mngundur diri,
Ibu kehilangan anak di kandungan,
Bintang yang di langit pun berguguran,
Kala itu taubatmu tidak berguna lagi,
Bila tibanya hari pengadilan,
Di padang mahsyar kita dihimpunkan,
Akan dihitung segala amalan,
Sepertimana yang telah diwahyukan,
Wahai muslimin umat semua,
Kembalilah kita kepada Allah,
Hindarkan diri dari dosa-dosa,
Agar di sana tiada penyesalan…

Sepantas kilat air mataku menitis,tersentak,tersedu-sedu, teresak-esak tangisanku. Mengalir mencurah-curah bak hujan membasahi bumi. "ya Allah!!!ampunkanlah ku, aku menyesal! aku menyesal! aku menyesal!" . Itulah kata- kata yang terucap dibibirku berulang kali ditemani air mata yang semakin deras. Terasa hinanya diriku, terasa diri ini jauh dari-Nya. Apa harus aku lakukan?.. Banyak persoalan makin meracau-racau dibenakku. Ketakutan menyelubungiku. Seolah-olah malaikat maut ingin menjemputku. Aku tidak keruan. Tangisan tidak henti-henti memikirkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Syaitan menjadi raja dalam diriku, mengawalku mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan dosa pahala. Aku kalah dengannya. Aku terasa bodoh. Mengapa ada insan sepertiku yang dikurniakan nikmat akal mampu dikalahkan syaitan durjana. "Ya Allah tolonglah hamba-Mu!!" , raungku. Aku menyapu air mataku apabila ketenangan makin menghampiriku. Laungan azan kedengaran. Lantas ku bangun menuju ke bilik air mengambil wudhuk, solat menyembah yang Esa, dan dituruti solat sunat taubat menyucikan diri. Setelah selesainya sujud kepada yang Esa ku berdoa memohon keampunan:

Ya Allah ya Tuhanku,
HambaMu merindukan rahmat kasih sayangMu dan jua keredhaanMu,
Dahan hidupku,
Meskipun ku ulangi dosa noda yang menjanjikan azab sengsara,
Namunku sedari keampunanMu tidak bertepi,
Ku akui diri ini hamba yang mungkir pada janji-janji,
Jadikanlah taubat ini yang sejati padaMu Illahi,
Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku,
Ya Allah redhakanlah kehidupanku,
Moga terhapus penghijab Kabul,
Antara kau dan aku,
Tuhan ku zalimi diri ini,
Andai kau tidak ampuni dan rahmati,
Alangkah ruginya diri ini,
Tuhan jangan kau pangkahkan hati ini,
Setelah kau beri hidayat,
Sesungghunya kau maha pengasih…..Amin.


Akhirul kalam,
Ranjau hidup ini terlalu banyak harus ditempuhi. Adanya pahit,adanya manis. Tatkala manis menjelma alangkah indahnya terasa tidak mahu pengakhirannnya. Tatkala pahit kunjung tiba terasa ingin membuangnya ibarat menghempas batu yang berat. Namun kita tidak boleh lari dari semua itu kerna hidup umpama roda. Hidup tidak selalunya indah, langit tidak selalunya cerah. Kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita dibawah. Itulah hakikat kehidupan. Tempuhilah dengan sabar. Jangan sekali kita mensiakannya. Ingat hidup di dunia tidak akan kekal, akhirat jua yang abadi.


Farahin..22.7.2010



Oleh:Nurul Farahin binti Ramli

Tuesday, July 20, 2010

JANGAN BERTASBIHKAN CINTA


Tidak mengapa jika kita berkenalan dahulu
terus berkahwin dan kemudian bercinta.
Seperti Siti Khadijah yg kenal kebaikan
Rasulullah saw melalui orang kepercayaannya Maisarah,
terus meminang Rasulullah saw,
berkahwin dan kemudian baru bercinta.

Untuk kenal orang yang baik,perlulah menerusi
orang yang baik.Hanya orang yang baik yang mengenal
orang baik yang lain,sepertimana hanya jauhari mengenal manikam.

Cinta itu bukan tujuan,cinta hanya jalan.
bukan hanya ada satu jalan untuk mencapai
tujuan,ada berbagai jalan.hakikat ini bukan
menafikan keperluan cinta untuk membina
kebahagiaan rumah tangga, tetapi cinta itu
bukan yang pertama dan yg paling utama untuk
mencapai rumah tangga yg bahagia.

Memilih calon suami isteri mestilah berdasarkan
panduan yang dberikan oleh nabi Muhammad saw,
iaitu dari aspek agama,keturunan,harta,dan rupa.
maka berkahwinlah atas dasar agama nescaya kita
akan mendapat kebajikan..

Jika cinta selepas kahwin dan kenal baru bercinta ini
dapat digambarkan dalam filem KETIKA CINTA BERTASBIH,
semestinya ia mampu direalisasikan dalam kehidupan.

Sungguh indah bila cinta bertasbih(memuji Allah).
Yakni bila cinta tunduk kepada kehendak Allah.
Tetapi trend kini terbalik,kebanyakan masyarakat
bertasbihkan cinta-lalu kehendak Allah tunduk
kepada cinta!


bayangkan betapa indahnya saat pertemuan dua mempelai
yang dipertemukan atas keredhaan Allah serta restu
ibu bapa dan masyarakat. thrill dan suasana suspens
sudah semestinya ada yang boleh menambahkan lagi
keindahan pertemuan pertama.

cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan
sama seperti cinta selepas perkawinan. ruangnya terhad
untuk membuktikan kecintaan. hal ini kerana Allah
melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya.

walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada
perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan
atau perbuatan,disengajakan atau tidak mampu menahan godaan.
ketika itulah cinta mula dinodai nafsu.
firtah hati(cinta dan kasih sayang) sudah bertukar
menjadi kehendak biologi(seks) semata-mata.

(sedutan dari majalah solusi isu#19)

buat peringatan diriku dan kalian..
bersamalah kita fikir-fikirkan,menginsafi,memperbetul kesilapan kita.
sesungguhnya kita insan biasa yg banyak menzalimi diri kita...

DOA-JIKA AKU JATUH HATI



Tertarik apabila salah seorang teman memberi tahu
dan berkongsi doa ini, sungguh menyehtuh hati, buat sesiapa yang mencari jodoh.
BISMILLAH...

Jika aku jatuh cinta...

Ya Allah,jika aku jatuh cinta,cintakanlah aku pada seseorang yang
melabuhkan cintanya pada-Mu,agar bertambah kekuatan ku untuk
mencintai-Mu.

Ya Muhaimin,jika aku jatuh cinta,jagalah cintaku padanya agar tidak
melebihi cintaku pada-Mu

Ya Allah,jika aku jatuh hati,izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
yang hatinya tertaut pada-Mu,agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta yang batil.

Ya Rabbana,jika aku jatuh hati,jagalah hatiku padanya agar tidak
berpaling pada hati-Mu.

Ya Rabbul Izzati,jika aku rindu,rindukanlah aku pada seseorang yang
merindui syahid di jalan-Mu.

Ya Allah,jika aku rindu,jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku
merindukan syurga-Mu.

Ya Allah,jika aku menikmati cinta kekasih-Mu,janganlah kenikmatan itu
melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.

Ya Allah,jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu,jangan biarkan aku
tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah,jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu,jangan biarkan aku
melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu
abadi hanya kepada-Mu.

AMIN YA RABB 'ALAMIN