Saturday, July 24, 2010

DUHAI INSAN ISTIMEWA

Duhai insan istimewa, kau digelar sebagai penyeri dunia. Kehadiranmu sebagai pelengkap hubungan manusia yang fitrah kejadiannya mengidamkan kasih sayang dan perasaan cinta untuk diluahkan. Kehadiranmu itu bukan sahaja dirindui oleh manusia biasa, malah nabi Allah Adam a.s juga turut sunyi di dalam syurga tanpa Hawa disisinya. Walhal segala-galanya lengkap di syurga yang kekal abadi itu…


Duhai insan istimewa, renungkanlah akan kejadianmu yang diciptakan dengan akal bak senipis bilahan rambutmu, maka tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu yang berguna dan diberkati, agar ‘satu akalmu’ mampu membezakan antara kaca dan permata, antara intan dan berlian. Juga hatimu bak kaca yang rapuh menanti masa untuk berderai bila disentuh. Maka kuatkanlah ia dengan iman yang teguh agar hatimu tidak terus tunduk pada ‘sembilan nafsumu’ itu.


Duhai insan istimewa, terciptanya dikau dari rusuk kiri lelaki, yang mana ketika nabi Adam a.s sedang tidur di syurga dalam keadaan mengiring badannya ke kanan. Maka bukanlah Allah menjadikan dirimu dari tulang kaki untuk dialasi atau ditindas, usah dikau gusar, darjat dirimu tidak serendah itu wahai insan istimewa... Malahan , bukan jua dari kepala asal kejadianmu itu, agar dirimu tidak disanjung oleh lelaki dek kelembutan serta kecantikan yang dikau miliki, tidak pula setinggi itu darjatmu wahai insan istimewa…. Tetapi dirimu diambil dekatnya di bahu untuk terus dilindungi, malah sangat dekat di hati untuk dirimu dikasihi, di ibaratkan dirimu tulang rusuk yang senantiasa menjaga dan melindungi hati lelaki tanpa pernah jemu. Di sinilah darjat yang sesuai bagimu, tidaklah terlalu tinggi untuk dibanggakan, tidak jua serendah kaki untuk dihinakan, letaknya di tengah-tengah cukup untuk mendamaikan.


Sedarilah insan istimewa, bahawa fitrah kelembutan dirimu bukannya kelemahan, bukan jua penghinaan dari Tuhan, bahkan ianya sebagai hiasan kecantikan. Hargailah perhiasan kurniaan Tuhan….


Engkaulah wanita istimewa….
Engkaulah wanita hiasan duniawi….





No comments:

Post a Comment